Friday, February 10, 2012

Terima Kasih IPGM


Assalamualaikum wrh wbt
Salam sejahtera

Semoga YBhg Datuk Rektor dan semua warga IPGM berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Sempena dengan pertukaran saya ke Bahagian Pendidikan Islam (BPI) bermula 13 Februari 2012, saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf atas segala silap dan salah, sepanjang saya bertugas di IPGM. Halalkan juga makan dan minum.

Saya memulakan tugas sebagai Pegawai Khas Datuk Rektor IPGM pada 2 Mei 2010. IPGM merupakan bahagian ketiga saya di KPM. Sebelum ini saya bertugas di Sektor SBP, Bahagian Sekolah (sekarang ini BSBPSK), dan BPSH. Banyak pengalaman yang telah ditempuh. Setiap bahagian pengalamannya berbeza dengan yang lain.

Pengalaman di IPGM sesungguhnya amat menyeronokkan. Tambahan pula berpeluang bekerja dengan Datuk Rektor, antara insan paling "cool" dalam dunia. Sepanjang bekerja bersama beliau, saya tak pernah lihat Datuk Rektor marah, apatah lagi meninggikan suara.

Datuk tidak suka berbincang berjela-jela tentang kenapa sesuatu masalah berlaku, siapa penyebabnya, apa yang silap. Apa yang beliau fokuskan adalah bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut. Ayat yang sering keluar dari mulutnya, "Bagaimana kita boleh bantu?.."

Satu perkara yang Datuk Rektor tak pandai; beliau tak pandai bercakap buruk tentang orang lain. Kalau orang bertanya, "kenapa rezeki Datuk ini baik, sampai telah dua kali disambung kontrak?" jawab saya mudah, kerana dia orang baik, maka Allah ganjarkan dengan rezeki yang lebih baik. Jom kita ikut!

Apa yang paling berharga menjadi pegawai khas, adalah kita berpeluang menyelami pemikiran orang-orang besar KPM. Ada perkara, yang mungkin pada kita di bawah, berpendapat penyelesaiannya adalah A, tetapi orang-orang besar nampak B adalah penyelesaiannya. Dahulu, seperti kebanyakan rakan-rakan lain, saya sendiri pastinya tertanya-tanya kenapa. Sekarang insya-Allah tidak lagi. Sudut pandangan mereka lebih luas. Pertimbangan mereka juga berasaskan banyak aspek, yang sebahagiannya tidak terjangkau dek pemikiran kita.

Saya dibawa masuk ke IPGM dalam keadaan IPGM masih bertatih. Stafpun sedikit. Sekarang IPGM telah menjadi organisasi yang besar. Saya doakan IPGM akan berjaya mengangkat martabat latihan perguruan ke tahap tertinggi, seperti yang termaktub dalam Visi dan Misinya.

Pastinya saya akan merindui kekuatan silaturrahim yang dibina sepanjang hampir 2 tahun di IPGM. Kalau boleh nak sebut nama semua orang. Namun cukuplah saya nyatakan kepada semua warga IPGM, terima kasih, syukran jazilan. Insya-Allah saya akan singgah juga ke IPGM, lagipun BPI dan IPGM, bak kata pepatah, sepelaung sahaja jaraknya.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mohon maaf kepada semua pengarah IPGK dan rakan-rakan pensyarah yang pernah berurusan bersama. Orang kata, ramai rakan, rezeki melimpah ruah insya-Allah.

Selamat berpindah ke Enstek.

Sekian, wassalam.

"Bahagia membantu"

Nor Azam bin Abdullah

No comments:

Post a Comment