Tuesday, November 29, 2011

Kembali ke Rahmatullah


25 November 2011, Jumaat. IPGM dikejutkan dengan kembalinya ke rahmatullah Pn Hasinah binti Akop, Pembantu Tadbir Sektor HEPHL. Pn Hasinah diserang stroke pada pagi jumaat berkenaan semasa sedang bertugas di pejabat. Beliau mengadu sakit kepala yang amat sangat sehingga tidak sedarkan diri.

Rakan-rakan segera menghubungi ambulan yang terus membawa beliau ke Hospital Putrajaya. Di sana beliau telah dimasukkan ke ICU dan kemudiannya dipindahkan pula ke PPUM disebabkan keadaanya yang amat kritikal.

Walau bagaimanapun, Allah S.W.T. lebih menyayangi Pn Hasinah. Beliau kembali mengadap Allah S.W.T pada subuh hari Sabtu.

Almarhumah Pn Hasinah meninggalkan suami dan seorang anak lelaki berusia 12 tahun. Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada suami dan anak beliau.

Semoga roh Pn Hasinah ditempatkan bersama dengan roh orang-orang saleh dan dimasukkan ke syurga Allah S.W.T. insya-Allah. Amin...

Al-Fatihah..

Monday, November 28, 2011

Jom Ke Felda 2011





Program Semarak Rukun Negara-Jom Ke Felda anjuran bersama IPGM, JPNIN dan Felda telah diadakan di Felda Lubok Merbau, Pendang, Kedah pada 19-23 November 2011.

Program ini merupakan program kedua selepas kejayaan program Jom Ke Desa tahun lepas yang diadakan di Bagan Datoh, Perak.

Jom Ke Felda merupakan sebahagian daripada Program Tahunan Semarak Rukun Negara yang bertujuan menyuburkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan pelajar di IPG.  Menerusi program ini, para pelajar IPG pelbagai kaum yang bakal menjadi guru setelah tamat latihan, berpeluang melihat dari dekat realiti kehidupan di FELDA. 

Jom Ke Felda kali ini melibatkan 340 orang pelajar dari 19 buah IPG. Mereka berkampung selama 3 hari 4 malam bersama dengan keluarga angkat mereka, dan menjalankan aktiviti-aktiviti seharian di Felda berkenaan.

Adalah diharapkan menerusi pengalaman berada di FELDA akan memberi keyakinan kepada pelajar IPG untuk menabur bakti kepada anak bangsa menerusi bidang pendidikan apabila tiba masanya kelak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Rektor IPGM.

Thursday, November 24, 2011

Konvensyen KIK KPM 2011





Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Pelajaran Malaysia 2011 (KIK KPM 2011) telah berlangsung pada 21-23 November 2011 di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam.

Konvensyen kali ini mencatatkan sejaran penyertaan tertinggi sebanyak 43 pasukan daripada agensi-agensi seluruh KPM; daripada peringkat sekolah sehinggalah bahagian.

IPG telah menghantar 5 penyertaan dan mendapat pengiktirafan bintang berikut; IPG Kent (2 Bintang) , Ilmu Khas (3 bintang), Ipoh (3 bintang), Batu Lintang (3 bintang) dan IPGM Cyberjaya (2 bintang).

Johan Keseluruhan : PPD Sibu (Kumpulan SWAN)
Johan Kategori Teknikal : PPD Sibu (Kumpulan SWAN)
Johan Kategori Pengurusan : Majlis Peperiksaan Malaysia (Kumpulan Dinamik)
Penyertaan Pertama Terbaik : IPG Ilmu Khas (Kumpulan eye kay TRANSFORMERS)
Montaj Terbaik : Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (Kumpulan IKON)

Tahniah kepada semua wakil IPG dalam KIK KPM 2011.

Friday, November 18, 2011

Forum IPG Kebangsaan 2011




Pertandingan Forum IPG Peringkat Kebangsaan 2011 telah diadakan pada 18-20 November 2011 di IPG Kampus Ipoh.

Sebanyak 9 buah IPG telah menghantar pasukan menyertai pertandingan ini.

Selain aktiviti forum, para peserta, pelajar dan pensyarah juga disajikan dengan sesi ceramah daripada Biro Tatanegara mengenai Konsep 1Malaysia. Ceramah disampaikan oleh En Khairuddin bin Mohd Azahari, pegawai BTN Perak.

YBhg Datuk Rektor telah menyampaikan ucap utama seterusnya merasmikan pertandingan.

Tuesday, November 15, 2011

Retreat IPGM 2011




Retreat IPGM 2011 telah diadakan pada 14 hingga 16 November 2011 di Hotel Corus Paradise, Port Dickson.

Percutian korporat IPGM ini bertujuan untuk:

a. memberi pendedahan dan kefahaman berkenaan visi, misi dan hala tuju IPGM;
b. memupuk semangat kerja sepasukan dalam kalangan warga IPGM;
c. memahami dan menilai perancangan strategik 2012 setiap pusat/sektor/jabatan.

YBhg. Datuk Rektor telah menyampaikan ucap utama dalam Retreat ini yang menjurus kepada kerja sekumpulan.

Wednesday, November 9, 2011

Konvensyen Integriti Nasional 2011


Konvensyen Inegriti Nasional 2011 telah berlangsung pada 10 November 2011 di PICC Putrajaya.

Konvensyen ini dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Tema konvensyen: Agenda Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda.

Konvensyen ini bertujuan untuk:

  1. menjelaskan kepada masyarakat bahawa agenda integriti akan terus menjadi satu daripada agenda penting kerajaan ke arah menjadikan rakyat Malaysia yang beretika dan berintegriti;
  2. meningkatkan kesedaran generasi muda bahawa agenda integriti nasional adalah tanggungjawab bersama dan golongan muda juga mempunyai tanggungjawab dan peranan penting ke arah pembudayaan integriti masyarakat masyarakat;
  3. meningkatkan komitmen dan memantapkan kefahaman masyarakat terutama generasi muda supaya turut serta menjadi pendokong dan penggerak agenda integriti nasional demi kelangsungan negara.

Antara pengisian konvensyen:

  1. Sesi Dialog - Integriti dan Kejayaan : Di Mana Kaitannya? Panel - Noor Irfan Khairi Noor Azmi dan Rozlindah Onn.
  2. Sesi Forum - Agenda Integriti Nasional : Relevansi Dengan Generasi Muda. Panel - Y.B. Dato' Saifudin Abdullah dan Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian.
  3. Ucap Utama - YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.


IPGM diwakili oleh Hj Nor Azam Abdulah.

Bengkel Kerja Kumpulan KIK IPGM



Bengkel Kerja Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) IPGM telah diadakan di Teluk Dalam Beach Resort pada 8-10 November 2011.

Bengkel ini bertujuan memurnikan skrip pembentangan kumpulan yang akan bertanding di Pertandingan KIK KPM pada 21-24 November akan datang.


Kumpulan KIK IPGM diberi nama IPGMers dan projek KIK yang akan dipertandingkan adalah Projek SUPerb, singkatan kepada Sistem Urus Perbelanjaan.

Semoga berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya 3 bintang, aminn..!

Tuesday, November 1, 2011

Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2011

Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2011 telah berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November 2011 di A'Famosa Resort, Melaka. Konvensyen kali ini mendokong tema Transformasi Profesionalisme Keguruan Menjana Kualiti Guru.

Salah satu acara utama konvensyen adalah forum yang melibatkan 3 orang ahli panel terkemuka; YBhg Tan Sri Dr Zulkurnain Hj Awang, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), YBhg. Datuk Dr Haili Dolhan, Rektor IPGM dan YBhg. Dato' Mohamad Ghazali Abdul Rahman, Pengarah BPG.

Dalam forum berkenaan YBhg Tan Sri Dr Zulkurnain mendedahkan lima kriteria utama yang diberi perhatian dalam temuduga perlatikan guru iaitu; personaliti, semangat, komunikasi, pengetahuan dan kreativiti.

Rumusan persidangan adalah seperti berikut:
  1. Memperkasakan penyelidikan tindakan dalam kalangan pelajar, pensyarah dan guru;
  2. Menyemarakkan inovasi pendidikan di semua peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia;
  3. Memantap dan memperluaskan amalan Komuniti Pembelajaran Profesional (Professional Learning Communities) dan Pembangunan Profesional Guru Berasaskan Sekolah (School-based Professional Development of Teachers);
  4. Memantapkan komponen Amalan Profesional dalam kurikulum pendidikan guru dengan tumpuan terhadap pementoran;
  5. Menambahbaik kaedah penilaian Sekolah Berprestasi Tinggi berasaskan wajaran yang seimbang dalam komponen kurikulum, kokurikulum, sahsiah murid, dan pengurusan;
  6. Menambahbaik kurikulum pendidikan guru berasaskan disiplin ilmu baharu dalam bidang pendidikan;
  7. Menubuhkan Akademi Pembangunan Profesionalisme Pensyarah untuk memilih, melatih dan mentauliahkan calon pensyarah;
  8. Mewujudkan Sekolah Makmal (Lab School) di IPG Kampus bagi memperkukuhkan latihan pendidikan guru;
  9. Mengupayakan guru permulaan dengan kemahiran guru abad ke-21 dalam usaha melestarikan guru berjiwa pendidik.

Tahniah dan terima kasih kepada semua peserta dan urus setia konvensyen.